loading...

Bukan sekadar untuk pendinding diri, begitu besarnya keagungan ayat Kursi yang mungkin ramai tak sedar.

 


AYATUL Kursi amat sinonim dalam kehidupan kita. Sejak dari kecil, ramai dalam kalangan kita sememangnya sudah diajar untuk menghafal ayat Kursi.

Ia menjadi salah satu ayat yang begitu penting untuk dibaca sebelum melelapkan mata. Dengan cara itu sahajalah, kita akan dilindungi sepanjang tidur agar tidak diganggu oleh syaitan.

Bercakap tentang ayat Kursi, penulis teringat tentang kejadian yang berlaku ketika di bangku sekolah menengah kira-kira 20 tahun lalu. Beberapa rakan penulis diserang histeria. Bermula dari seorang pelajar perempuan, entah bagaimana ia boleh ‘berjangkit’ pada rakan-rakan yang ada di dalam bilik asrama berkenaan.

Mereka terpekik-pekik, malah ada yang meraung. Mengenali rakan-rakan tersebut, mereka bukan sejenis insan yang berperilaku sedemikian. Namun, ‘serangan mengejut’ itu menyebabkan mereka hilang kawalan diri.

Ketika itu, hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa kuatnya jantung penulis berdetak. Terasa seram sejuk. Syukurlah pada masa itu, ada pelajar senior yang meminta semua pelajar lain supaya membaca ayat Kursi dan mengarahkan rakan yang lemah semangat agar keluar dari bilik berkenaan.

Ya, selepas melafazkan ayat berkenaan, jiwa secara automatik berasa lapang dan tenang. Beransur-ansur rasa takut yang bertamu dalam hati tadi hilang.

Demikianlah kehebatan ayat Kursi yang mampu menjadi pelindung kepada diri. Sebenarnya, ada banyak lagi kelebihan yang ada pada ayat berkenaan.

Kenapa ayat Kursi itu begitu istimewa? Benarkah ia ayat yang diajarkan oleh syaitan kepada sahabat Nabi Muhammad SAW?

Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi bagi membicarakan lanjut tentang topik berkenaan.

Sebelum pergi lebih jauh, Ustaz Ahmad Lutfi mengajak kita mengenali lebih dekat tentang ayat Kursi. Jelas beliau, ia merupakan ayat ke-255 dalam Surah al-Baqarah.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH, tidak ada Tuhan selain DIA. YANG MAHA HIDUP, yang mengatur (makhluk-NYA) secara berterusan, tidak mengantuk dan tidak tidur. Milik-NYA apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi-NYA tanpa izin-NYA. DIA mengetahui apa yang di hadapan dan apa yang ada di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang ilmu-NYA melainkan apa yang DIA kehendaki. Kursi-NYA meliputi langit dan bumi. Dan DIA tidak merasa berat memelihara kedua-duanya. Dan DIA MAHA TINGGI, lagi MAHA BESAR.”

Kedudukan tinggi

Ujar Ustaz Ahmad Lutfi, ayat al-Quran tersebut dikenali dengan nama al-Kursi kerana dalam kalamullah tersebut ada disebutkan tentang Kursi (ilmu dan kerajaan) ALLAH SWT.

“Ayat ini memiliki kedudukan yang tinggi dalam Islam dan ia juga memiliki keutamaan-keutamaan yang banyak. Banyak hadis, baik yang sahih mahupun hasan yang menjelaskan tentang keutamaan ayat yang begitu mulia ini,” katanya ketika ditemu bual menerusi secara maya baru-baru ini.

Agamawan itu menjelaskan, sesungguhnya, kalam ALLAH itu menjadi benteng bagi pembacanya.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah Hadis Riwayat al-Bukhari. Dalam riwayat itu, diceritakan tentang perihal Abu Hurairah RA yang ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga harta zakat.

Ketika itu, datang seseorang untuk mencurinya dengan kedua tapak tangannya. Abu Hurairah lantas menangkapnya dan berkata: “Demi ALLAH, sungguh akan aku laporkan engkau kepada Rasulullah SAW.”

Dia berkata: “Sesungguhnya aku memiliki keluarga yang harus dinafkahi dan aku juga memiliki hajat yang mendesak.”

Maka, Abu Hurairah pun melepaskan orang itu.

Ketika waktu pagi, Nabi Muhammad SAW bertanya: “Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan tawananmu semalam?”

Abu Hurairah berkata: “Wahai Rasulullah SAW, dia mengadukan tentang keperluannya yang mendesak dan keluarganya yang harus dinafkahi, lalu aku kasihan kepadanya dan aku lepaskan dia.”